Dulu busuk kini hijau wangi

Shah Alam: Taman Rekreasi Ayer Hitam, Puchong yang tersergam indah dengan pemandangan hijau sehingga kelihatan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Genting Highlands kurang dikenali ramai.

Berkeluasan 42 hektar, taman rekreasi itu mampu memuatkan lebih 2,000 orang pada satu masa.

Pengurus Besar Bahagian Alam Sekitar, Worldwide Holdings Zamri Abdul Rahman berkata, walaupun sudah dibuka kepada orang awam pada 2011 namun orang ramai masih kurang mengetahui kewujudan tapak rekreasi itu.

“Ada penduduk yang puluhan tahun tinggal di sekitar ini masih menyangka tapak ini masih dijadikan tapak pelupusan sampah. Bagi mereka yang baru, mereka langsung tidak mengetahui kewujudan tapak rekreasi ini.

“Melalui kajian soal selidik yang dibuat di sekitar sini, mereka kebanyakannya tidak tahu serta terkejut apabila mendapat tahu kewujudan tapak rekreasi ini,” katanya.

Menurutnya, setiap hari kira-kira 50 pengunjung hadir untuk melakukan aktiviti kesukanan.

“Ramai tidak tahu mereka boleh buat banyak aktiviti di dalam taman ini termasuk beriadah, berjogging, berbasikal serta bermain motosikal sukan lasak.

“Kami sudah sediakan tapak untuk mereka yang mahu melakukan aktiviti ini tanpa sebarang bayaran. Semuanya percuma,” katanya.

Beliau berkata, tapak itu dibuka kepada orang ramai seawal jam 7 pagi dan 7 malam setiap hari.

Sementara itu, penduduk mengakui kini mereka mampu bernafas dengan selesa berbanding terpaksa menghidu bau busuk dan berhadapan ancaman lalat sebelum ini.

Zakaria Badu, 49, yang tinggal berhampiran tapak pelupusan Sanitari Ayer Hitam, Puchong itu berkata, selepas Worldwide Holdings mengambil alih tapak pelupusan itu mereka dapat menarik nafas lega.

“Bau busuk dan masalah lalat lama kelamaan hilang selepas tapak pelupusan sampah ini diuruskan dengan baik.

“Seramai 1,400 penduduk di pangsapuri ini tidak lagi terkesan dengan masalah daripada tapak pelupusan ini.

“Jika dulu, semua pakaian habis melekat bau sampah, lalat pula begitu banyak…kalau masuk rumah, lalat berlumba-lumba juga masuk bersama,” katanya.

Menurutnya, tapak pelupusan sampah berkenaan yang dijadikan taman rekreasi yang dikenali sebagai Worldwide Landfills Park memberi manfaat kepada penduduk.

“Anak-anak dapat bermain di taman dan mengayuh basikal serta penduduk juga boleh berjoging di sana.

“Namun, taman rekreasi berkenaan masih belum dikenali ramai dan mungkin perlu diperindahkan lagi bagi menarik perhatian pengunjung,” katanya.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) Trees For Life menyatakan taman rekreasi itu akan menjadi tarikan terutama kepada NGO seperti mereka.

Sukarelawan, Umi Fasehe Kosno, 26, berkata, pihaknya teruja apabila ada taman rekreasi diwujudkan daripada tapak pelupusan sampah.

“Ia usaha yang bagus kepada masyarakat kerana ia bukan saja bekas tapak pelupusan sampah malah memberi pulangan yang baik kepada masyarakat seperti gas sampah yang disedut dan dipam untuk menjana elektrik kepada penduduk serta air sampah dirawat dan disalurkan ke sungai,” katanya.

Original article » https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/08/255626/dulu-busuk-kini-hijau-wangi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *