Taman Atas Sampah

JURUTERA Worldwide Landfills, Abdul Halim Tara (kiri) dan Pengarah Operasi Tapak Worldwide Landfills, Nor Haszma Mohd Hashim membaca gas daripada saluran paip gas yang dijana daripada telaga gas. ORANG ramai boleh berehat di gazebo ketika berada di puncak di taman rekreasi. TELAGA yang menyedut gas daripada sampah dan menghasilkan bekalan elektrik. KOLAM terakhir di Loji Rawatan Air Larut yang menggunakan proses semula jadi iaitu tumbuhan alga sebelum dilepaskan ke sungai. JENTERA yang dimport khas dari Austria untuk memproses gas daripada sampah. LOJI Rawatan Air Larut Resapan yang memproses air sampah untuk mengasingkan amonia dan ditapis sebersihnya.

Landfills Park di Ayer Hitam Puchong ‘simpan’ 6.2 juta tan sisa pepejal terurai

Adakah kita pernah terfikir dalam tempoh 10 tahun apa akan berlaku ke atas sampah yang kita buang selama ini? Adakah ia boleh terus mereput ke perut bumi selepas dibuang ke dalam tong sampah yang kemudiannya dibawa ke tapak pelupusan sampah.

Hari ini negara menampung kira-kira 35,000 tan metrik sampah sehari yang dibuang penduduk dan jika dikumpulkan selama lima hari, ia bersamaan dengan keluasan Perlis.

Jika saban hari sampah dibuang tanpa pengasingan dan sukar terurai, ia akan menyebabkan negara dipenuhi sampah dan lama-kelamaan pencemaran air dan udara berlaku dengan lebih teruk lagi.

Pada 1995, syarikat Worldwide Holdings diberi tanggungjawab menguruskan dan memberi nafas baru kepada Tapak Pelupusan Sanitari Ayer Hitam, Puchong dengan menggunakan teknologi dan kepakaran tempatan bagi memastikan alam sekitar terus dipelihara.

Syarikat itu adalah perintis dan penggiat utama sektor pengurusan alam sekitar di Malaysia terutama di Selangor.

Sehingga kini Worldwide Holdings menguruskan 10 tapak pelupusan sampah atau konsesi di Selangor.

Bermula 2011, Worldwide Holdings berjaya menjadikan Landfills Park di Ayer Hitam, Puchong sebagai taman rekreasi dengan di bawahnya mengandungi 6.2 juta tan sampah yang dalam proses penguraian.

Worldwide Holdings syarikat pertama di Malaysia menguruskan tapak pelupusan sanitari itu yang dijadikan taman rekreasi dan menghasilkan dua mega watt (MW) tenaga elektrik daripada gas metana, malah usaha itu turut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun sama.

Tapak Pelupusan Sanitari Ayer Hitam, Puchong berkeluasan 42 hektar beroperasi bagi menampung sejumlah 6.2 juta tan metrik sisa pepejal yang dibuang penduduk Selangor dan sekitarnya.

Apabila tapak berkenaan ditutup dengan sempurna tanpa bau hasil kepakaran teknologi mereka pada 2006, Worldwide Holdings diberi tanggungjawab sekali lagi menguruskan tapak baru di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, Kuala Selangor.

Tapak berkenaan dibuka pada awal 2007 untuk menampung 850 tan metrik sampah setiap hari pada awal pembukaannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sekitar Selangor.

Kemudiannya, pada 2008 pembuangan sisa pepejal meningkat kepada 1,500 tan metrik dan sehingga kini 3,000 tan metrik dibuang di situ setiap hari.

Pengurus Operasi Tapak Worldwide Landfills Sdn Bhd Nor Haszma Mohd Hashim berkata, selepas pembukaan Tapak Pelupusan Sanitari di Jeram, pihaknya menerima sisa pepejal daripada PBT di sekitar Selangor.

Katanya, antara PBT yang mengumpul sisa pepejal daripada penduduk adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) serta beberapa PBT lain.

“Selepas tapak pelupusan di Ayer Hitam ditutup, semua PBT beralih arah ke tapak pelupusan di Jeram yang dibuka jauh 10 kilometer dari penempatan berbanding di Ayer Hitam yang terletak tiga kilometer dari kediaman penduduk,” katanya.

Nor Haszma berkata, Tapak Pelupusan Sanitari Jeram berkeluasan 65 hektar itu sudah dipenuhi sisa pepejal dan akan ditutup secara berperingkat pada tahun ini.

“Tapak ini mempunyai tujuh fasa (kawasan) yang sudah dipenuhi timbunan sisa pepejal.

“Semua sisa pepejal akan dibuat pengasingan secara manual terlebih dulu yang dilakukan pekerja dan ia mengambil masa dua minggu untuk diasingkan.

“Sisa pepejal yang siap diasingkan akan dimuatkan ke dalam satu fasa (lubang) sedalam tiga meter dan ditutup dengan lapisan tanah. Di atas tanah berkenaan, kita memuatkan lagi tiga meter sisa pepejal dan melakukan proses sama sehingga fasa berkenaan ditutup sepenuhnya dan membuka fasa baru,” katanya.

Tapak pelupusan di Jeram mempunyai kawasan tambahan terbaru seluas 53 hektar yang akan digunakan pada tahun depan dan tempoh operasinya dilanjutkan enam tahun lagi.

Sepanjang 10 tahun tapak berkenaan beroperasi, lebih 800 lori sehari berbanding 500 sebelum ini keluar masuk bagi menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan terbabit.

Worldwide Holdings bukan saja menguruskan penanaman sisa pepejal semata-mata tetapi membaik pulih semula habitat asal kawasan tapak pelupusan sanitari berkenaan.

Ia terbukti apabila tapak pelupusan di Ayer Hitam, Puchong kini dijadikan taman rekreasi yang dikenali sebagai Worldwide Landfills Park.

Malah, ia bukan saja mengembalikan semula sistem asal flora fauna, tetapi syarikat itu menjadikan kedua-dua tapak pelupusan berkenaan sebagai salah satu kaedah untuk menjana elektrik daripada gas sampah dan merawat air larut resapan yang dihasilkan sisa pepejal berkenaan.

Elektrik yang dijana akan disalurkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan ia boleh digunakan untuk rumah berhampiran.

Air larut resapan pula akan diproses menjadi air yang dirawat dan selamat untuk disalurkan ke dalam sungai selepas mendapat ketetapan warna air yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Nor Haszma berkata, pihaknya menekankan aspek kawalan pencemaran bau melalui dua sistem yang menggunakan kepakaran teknologi supaya tiada bau kuat dan tidak merosakkan tanah di bawah permukaan sampah yang ditanam.

Original article » https://www.pressreader.com/malaysia/harian-metro/20170819/281930248095143

One Response to Taman Atas Sampah

Leave a Reply to yabanci Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *